Lapan Anggota Panel Khas Lawat Tempat Kejadian Malam Tadi

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DSP Kamarudin Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam (kanan) menerangkan sesuatu kepada Datuk Wira Abu Seman Yusop, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan Datuk Michael Yeoh di tempat insiden.- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
DSP Kamarudin Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam (kanan) menerangkan sesuatu kepada Datuk Wira Abu Seman Yusop, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan Datuk Michael Yeoh di tempat insiden.- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI

SHAH ALAM: Lapan anggota panel khas yang ditubuhkan bagi memantau siasatan berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis pada 26 April lalu membuat lawatan ke tempat kejadian di sini, malam tadi.

Pengerusi panel, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, beliau berpuas hati dengan hasil tinjauan malam tadi dan panel akan bersidang dalam tempoh masa terdekat di Putrajaya.

Katanya, lawatan itu bertujuan untuk memahami situasi sebenar bagaimana insiden tersebut berlaku.

"Kami memulakan tinjauan pada 10.30 malam bermula di Restoran Ali Coffee untuk memahami insiden tersebut dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas tinjauan itu berakhir.

Anggota panel tiba dengan menggunakan bas pada 11.10 malam sambil diiringi beberapa kereta peronda polis.

Rombongan itu selesai menjalankan tinjauan di situ pada 11.35 malam.

Pada 26 April lalu kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di sini, mati selepas terkena tembakan anggota polis peronda di Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, di sini.

Ekoran itu, satu panel khas yang dipengerusikan Abu Seman ditubuhkan. Panel itu dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, tiga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pensyarah dan penganalisis jenayah.

Tiga anggota Suhakam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Seri Muhammad Shafee (peguam) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (aktivis).

Lain-lain anggota panel ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan penganalisis jenayah Kamal Affandi.

Abu Seman yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, panel itu tidak menetapkan satu tempoh masa pemantauan dan siasatan panel itu selesai.

"Kita tak boleh tetapkan tempoh masa kerana ikutkan tugas kita adalah pantau siasatan polis supaya ia tepat dan memberikan keadilan terhadap semua pihak," jelas beliau.

Sementara itu, pemilik rumah di mana kereta Aminulrasyid berhenti selepas melanggar tembok, Wan Ramli Tajuddin turut menceritakan pengalamannya berhubung insiden itu dengan ahli-ahli panel.

Terdahulu dalam mesyuarat pertama panel khas itu di Putrajaya semalam, Abu Seman berkata, panel khas itu juga telah menemuduga beberapa pegawai penyiasat berhubung insiden itu dan setakat ini, berpuashati dengan penjelasan mereka.

Beliau berkata, panel khas itu akan memanggil saksi-saksi jika merasakan ada yang tidak kena daripada siasatan yang dijalankan oleh polis.

Katanya, panel khas itu juga akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) pasukan keselamatan itu serta modul-modul latihan sedia ada berkaitan tugas mereka.

Panel khas itu akan mengadakan mesyuaratnya sekali seminggu pada setiap Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan