Dua Bilik Stor Pulapol Musnah Terbakar

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua bilik stor yang menyimpan barangan logistik di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini musnah dalam kebakaran pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit, Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11 pagi sebelum jentera bomba pertama tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

"Dua bilik berkenaan dijadikan stor untuk menyimpan barangan logistik yang akan dilupuskan dan ia sederet dengan enam lagi bilik stor, namun api dapat dikawal daripada merebak ke stor lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebanyak 10 jentera bersama 51 anggota dan pegawai termasuk forensik dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit, Hang Tuah, Sentul dan Setapak dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Katanya, api dapat dikawal kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum padam sepenuhnya pada pukul 2.04 petang.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan