P.Pinang Tubuhkan Majlis Perundingan Bagi Kontraktor Kelas F

Diterbitkan: Selasa, 4 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Kontraktor Bumiputera Kelas F Pulau Pinang yang bertujuan membantu 1,316 kontraktor di negeri ini agar lebih berdaya saing dan berjaya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, majlis itu bertujuan membantu melaksanakan dasar bagi membentuk jaringan, peluang pekerjaan, bimbingan, bantuan modal dan kesedaran etika dalam perniagaan.

"Kerajaan telah lama memikirkan cadangan untuk kita mendekati masyarakat peniaga dan usahawan di negeri ini, dan ini adalah cara kita bagi menyelesaikan masalah mereka seterusnya memajukan mereka dari segi mutu kerja dan mampu berdaya saing," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak majlis perundingan itu akan mewujudkan satu pusat kecil, iaitu tempat bagi kontraktor kelas F ini diberi khidmat nasihat, latihan, seminar, serta taklimat mengenai maklumat tender dan E-Perolehan.

"Kita juga akan melihat peningkatan prestasi kontraktor-kontraktor itu dan akan memastikan kerja-kerja kontraktor ini akan ditawarkan sepanjang tahun," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan