Perak Sedia Dana Mikro Kredit RM4 Juta Bantu Golongan Miskin

Diterbitkan: Isnin, 3 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) akan menyediakan dana permulaan berjumlah RM4 juta di bawah skim mikro kredit bagi membantu untuk membawa golongan miskin keluar dari belenggu kemiskinan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, di bawah skim itu peserta yang memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh menerima pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 dan RM10,000 mengikut program-program tertentu seperti Ikhtisad dan Ikhtiar.

"Untuk membasmi kemiskinan, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai pendekatan dan melalui YBU, kerajaan negeri menawarkan pinjaman mikro kredit kepada peserta yang layak sebagai modal untuk mereka memulakan perniagaan yang berskala kecil.

"Melalui skim ini, golongan miskin tegar mempunyai peluang untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan mereka juga perlu berusaha sendiri bagi meningkatkan taraf hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Bina Upaya dan Pembasmian Kemiskinan negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, YBU akan melaksanakan susulan di samping pelbagai program latihan kepada penerima skim berkenaan untuk memastikan mereka benar-benar menggunakan skim itu untuk meningkatkan taraf hidup.

Katanya, mantan Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Prof Sukor Kasim yang juga pakar program mikro kredit dan pembangunan luar bandar dari Universiti Sains Malaysia akan membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan skim berkenaan.

Zambry berkata, YBU turut menubuhkan Skuad Ikon Bina Upaya (IBU) yang akan membantu YBU mendapat maklumat supaya bantuan dapat diberikan dengan kadar segera.

Katanya, usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk pembasmian kemiskinan tidak akan mencapai matlamatnya jika ia tidak mendapat kerjasama dan komitmen jitu daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Skuad itu kini dianggotai 5,000 anggota sukarelawan dari seluruh negeri akan bertindak sebagai mata dan telinga kepada kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, YBU turut menjalin kerjasama dengan pelbagai NGO di seluruh negeri Perak supaya agenda pembasmian kemiskinan dilaksanakan lebih berkesan.

Sebanyak 200 peserta pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat serta NGO menyertai Simposium Bina Upaya dan Pembasmian Kemiskinan hari ini yang bertujuan mendapat maklumbalas serta menyelaraskan program upaya masyarakat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan