Najib Beri Sanjungan Tinggi Kepada Mendiang Robert Lau Hoi Chew

Diterbitkan: Isnin, 3 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini memberi sanjungan tinggi terhadap mendiang anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau Hoi Chew yang meninggal dunia 9 April lepas.

Berucap di majlis pemimpin bersama rakyat di Dataran Bandar Sibu di sini, Perdana Menteri berkata, mendiang Lau adalah timbalan menteri pengangkutan yang telah banyak berjasa kepada rakyat Sibu, negeri dan juga negara.

"Walaupun beliau mengalami sakit serius, beliau bertugas hingga ke akhir hayat demi rakyat.

"Saya ingin menyatakan setinggi terima kasih kepada beliau kerana pengorbanan dan khidmatnya," kata Najib.

Beliau berkata mendiang Lau adalah contoh seorang pemimpin berhati rakyat dan cukup komited dalam khidmatnya.

"Beliau adalah teladan dedikasi utama yang kita semua harus contohi.

"Cara terbaik mengingati beliau ialah dengan meneruskan kerja-kerja cemerlang beliau," katanya.

Najib berkata inilah sebabnya Barisan Nasional telah memilih seorang lagi Robert Lau (Robert Lau Hui Yew atau kini lebih dikenali sebagai Robert Lau junior) sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil ini.

"Saya telah teliti orangnya. Tan Sri Taib Mahmud juga demikian.

"Kami dapati ia seorang yang bagus. Tanpa ragu, saya minta rakyat Sibu memberikan beliau sokongan sepenuhnhya pada pengundian 16 Mei nanti," kata Najib.

Beliau sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa hanya BN yang boleh membawa negara lebih maju.

"Saya beritahu anda sebagai Perdana Menteri. Hanya BN boleh mengubah negara menjadi lebih kuat dan makmur.

"Pembangkang hanya boleh bercakap retorik politik," kata beliau.

Najib berkata akan wujud jurang lebih luas antara kerajaan dan rakyat jika mereka memilih pembangkang.

"Ini juga akan menjejas rancangan kita untuk melakukan transformasi ke atas Sarawak," kata beliau.

Terdahulu, Najib menjadi tetamu kehormat di jamuan malam diberikan oleh Persatuan Kebudayaan Cina Sibu.

Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan dua hari ke bandar ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan