Najib Yakin Rundingan Persempadanan Laut Dan Darat Untungkan Malaysia-Brunei

Diterbitkan: Ahad, 2 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rundingan antara Malaysia dan Brunei berkaitan persempadanan laut dan darat akan mencapai satu bentuk penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara jiran itu sedang berunding perkara berkenaan dalam semua aspek, termasuk peranan dan peluang yang boleh diraih oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) daripada segi kerja cari gali dan pembangunan serta pelaburan yang boleh dibuat oleh Brunei di Malaysia sebagai satu pakej.

"(Duli Yang Maha Mulia) Sultan Hassanal Bolkiah selalu sebut perkara ini bahawa baginda berkehendakkan penyelesaian yang berasaskan satu formula yang saling menguntungkan," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari dan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 32 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak di Kem Rascom, Briged Kesembilan Infantri di Jalan Ulu Oya dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata persetujuan pada prinsipnya telah dicapai pada 2009 dan kini kedua-dua pihak sedang melihat rundingan daripada segi kajian yang dilakukan dalam satu semangat perjanjian yang menguntungkan.

Najib diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis dalam laman blognya Khamis lepas, mempersoalkan sebab dua medan cari gali, konsesi blok L dan blok M, yang bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata kehilangan itu boleh mengakibatkan kerugian kepada Malaysia sekurang-kurangnya US$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.

Abdullah, yang menandatangani Pertukaran Surat pada Mac 2009, menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet Malaysia dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usahasama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.

Sementara itu, Petronas pula berkata syarikat minyak nasional itu telah dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir tersebut atas dasar persetujuan komersial.

Petronas berkata syarikat itu telah menubuhkan sebuah pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan