Pesawat MAS Bawa Anak Yatim Terbang Rendah

Diterbitkan: Sabtu, 1 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Warga kota hari ini dikejutkan dengan kelibat sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 747-400 yang terbang rendah berlegar-legar melintasi bangunan pencakar langit di ibu kota.

Pesawat yang boleh memuatkan ratusan penumpang itu juga melewati beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang untuk beberapa minit dan ini menimbulkan pelbagai andaian sehingga pejabat Bernama menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menyatakan kemungkinan pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Bagaimanapun seorang jurucakap MAS ketika dihubungi menjelaskan bahawa pesawat itu sebenarnya sedang membawa anak-anak yatim di bawah program amal "Sensasi Sabtu" anjuran Jabatan Haji dan Sewa Khas, MAS.

"Pesawat itu berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.15 tengah hari dengan membawa 300 orang kanak-kanak dari Asrama Damai Kuang, Rumah Anak Yatim As-Shakur Bandar Tasik Putri, Persatuan Anak Yatim Kg Medan dan House of Joy Puchong serta anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anak anggota Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, sebelum itu, kanak-kanak terbabit berkumpul di Pusat Pameran Naza di Petaling Jaya dan kemudian dibawa mengelilingi Petaling Jaya sebelum ke Kompleks A, Lapangan Terbang Subang dengan diiringi oleh konvoi 150 penunggang Kumpulan Kelab Harley Davidson, 15 penunggang Kumpulan Kelab Penunggang BMW (RIDERS) dan 20 motosikal berkuasa tinggi PDRM.

Kanak-Kanak itu kemudian diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat Boeing 747-400 mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur.

Program itu adalah yang kedua diadakan sejak tahun lepas yang bertujuan mengembirakan kanak-kanak terbabit.

Pada tahun lepas lebih 180 kanak-kanak di bawa menaiki motosikal berkuasa besar jenis Harley Davidson dan menaiki pesawat Airbus A330 mengelilingi kawasan KLIA, menurut jurucakap itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan