Media Jangan Putar Belit Kenyataan Polis: Musa - Berita Semasa | mStar

Media Jangan Putar Belit Kenyataan Polis: Musa

Diterbitkan: Jumaat, 30 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini meminta media massa terutamanya media alternatif supaya tidak membuat spekulasi dan andaian sendiri mengenai kenyataan polis berhubung kejadian seorang remaja ditembak mati baru-baru ini.

Katanya, sebarang spekulasi yang sengaja diada-adakan dengan memutar belit kenyataan polis serta ditokok-tambah boleh mengeruhkan keadaan selain menyukarkan siasatan kes terbabit.

"Janganlah keruhkan keadaan. Orang ramai boleh jadi keliru. Jadi jangan buat sesuatu (andaian) yang kelak boleh menimbulkan kontroversi dan mengganggu siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan laman portal Malaysiakini yang dipercayai tersalah tafsir kenyataannya.

Laporan itu menyebut Musa bersedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

Musa berkata, laporan itu ditulis mungkin berdasarkan jawapan balas beliau secara spontan kepada wartawan telah disalahtafsir sedangkan apa yang cuba disampaikan berlainan maksudnya.

Katanya, beliau hanya mengandaikan apakah polis tidak perlu menjalankan tugas mengikut undang-undang dan hanya membiarkan pelaku jenayah membuat kesalahan tanpa pengawasan.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya mengulangi kenyataannya yang disebut pagi tadi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengamal media supaya tidak memutar belitkan kenyataan polis.

"Saya sedih atas apa yang menimpa mangsa dan keluarga. Saya lagi bersedih apabila kenyataan saya diputar belit sehingga membawa maksud berlainan," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan