Kerajaan Selangor Tawar Bantuan Guaman Kepada Keluarga Remaja Mati Ditembak Polis

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia memberi bantuan guaman kepada keluarga Aminulrashid Amzah, 15, yang mati ditembak ketika didakwa cuba merempuh polis pada Isnin lepas, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, khidmat guaman itu akan disediakan jika keluarga remaja itu merasakan perlu mendapat nasihat undang-undang.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Aminulrashid di Seksyen 11 di sini bagi menyerahkan cek bantuan kerajaan negeri berjumlah RM10,000.

Abdul Khalid berkata, beliau tidak berhasrat bertemu Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada masa ini kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

Mengenai perkara lain, beliau berkata, pemilik tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri dikehendaki memberi penjelasan jika gagal membangunkan dan melunaskan cukai tanah tertunggak melebihi tempoh lima tahun.

Abdul Khalid berkata, kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tanah mereka diambil semula oleh kerajaan negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan