Datuk Dari Syarikat Telekomunikasi Salah Guna Kuasa Disiasat SPRM

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Beberapa ahli korporat dan perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk dari sebuah syarikat telekomunikasi kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Yusoff Akope berkata, Datuk berusia 50-an itu disiasat kerana dipercayai turut terlibat dalam penyelewengan perolehan tender serta projek.

"SPRM Kuala Lumpur kini sedang menyiasat beberapa ahli perniagaan selepas disyaki memberi suapan dan menyalahgunakan kuasa, yang mana salah seorang daripada mereka berpangkat datuk.

"Datuk tersebut kita belum lagi tahan dan sedang disiasat namun saya enggan mengulas lanjut kerana ianya akan mengganggu siasatan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Gerak Mesra Pertandingan Menembak SPRM Kuala Lumpur di Lapang Sasar Penjara Kajang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM Kuala Lumpur menerima sebanyak 203 laporan sepanjang Januari hingga April tahun ini di mana sebanyak 24 kes telah dibuka kertas siasatan.

"Manakala seramai 15 individu telah kita tahan. Antaranya didakwa di bawah Seksyen 17(B) Akta SPRM atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan