Bekalan Gula Kedah Dijamin Cukup

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Kedah memberi jaminan bekalan gula di negeri itu mencukupi dan menafikan harga bahan itu akan naik.

Pengarahnya, Salleh Ma'amor berkata, desas-desus bahawa kerajaan akan menarik balik subsidi gula yang menyebabkan harganya naik adalah tidak benar.

Menurutnya, kekurangan bahan itu di beberapa kawasan di Baling dan Kuala Muda adalah tidak serius.

"Kekurangan ini mungkin didorong oleh peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana yang berebut membeli bekalan dalam kuantiti banyak kerana desas-desus subsidi gula akan ditarik balik," katanya kepada Bernama hari ini.

Salleh berkata, penggunaan gula di Kedah setiap bulan sejak dua tahun lepas masih tidak melebihi 4,500 tan metrik.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha IKS bulan depan untuk melihat sebanyak mana keperluan mereka agar tidak berlaku kekurangan bekalan khusus menjelang musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah, Datuk Yusoff Ismail berkata, sejak dua tahun lepas bekalan gula akan berkurangan bermula April sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, daripada laporan yang diterima dan tinjauanmua, persatuan itu mendapati kekurangan bekalan gula sebenarnya tidak berlaku di Kedah cuma pengusaha IKS yang didapati membeli dalam kuantiti banyak sejak akhir-akhir ini.

"Kami juga dapati tiada kes sorok atau penyeludupan kecuali rakyat dari Thailand yang membeli dua tiga kilo seorang untuk kegunaan sendiri," kata Yusoff. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan