Siasatan SPRM Terhadap Nik Aziz, Menantu Masih Diteruskan

Diterbitkan: Selasa, 27 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sambil menolak tanggapan kononnya kes itu ditutup atau siasatan sengaja dilewatkan, Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd Nor, berkata beberapa orang akan dipanggil bagi membantu siasatan itu dalam masa terdekat ini.

"Ada beberapa saksi akan dipanggil yang berkaitan dengan aduan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen "Perangi Pemberi Rasuah" di sini hari ini.

Pada 7 April lepas, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, mendesak SPRM mendedahkan status siasatan tersebut. SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan terhadap Abdul Ariffahmi sejak November tahun lepas setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

Siasatan terhadap Nik Abdul Aziz pula dipercayai dilakukan setelah terdapat laporan yang beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan Abdul Ariffahmi serta beberapa ahli keluarganya.

Nasaruddin berkata, mana-mana laporan yang diterima sama ada melibatkan kes berprofil tinggi atau sebaliknya disiasat mengikut prosedur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan