Pembangkang Diminta "Gentleman" Dan Terima Keputusan Hulu Selangor

Diterbitkan: Selasa, 27 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta parti-parti pembangkang menjadi "gentleman" dengan menerima keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dua hari lepas dan tidak membuat andaian-andaian yang tidak betul terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN itu berkata, perkara utama adalah BN telah memenangi pilihan raya kecil itu dan pembangkang perlu menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi di kawasan itu.

"Soal pokoknya kita sudah menang. Kalau sudah kalah, 'be a gentleman' dan jangan membuat andaian-andaian yang tidak betul," katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangkang tidak wajar menimbulkan sebab-sebab lain hanya kerana mereka tidak berpuas hati terhadap kemenangan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor itu.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas dakwaaan yang dilemparkan pembangkang bahawa BN telah "membeli undi" bagi menjamin kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen itu.

Pada pilihan raya kecil itu, ketua penerangan MIC P.Kamalanathan daripada B Nmenewaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR bagi merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

Kamalanathan menerima 24,997 undi manakala Zaid memperoleh 23,272 undi.

Mengenai penurunan undi yang diterima BN daripada masyarakat Cina, Muhyiddin berkata, BN akan melakukan kajian yang teliti tentang keputusan pilihan raya kecil itu.

"Kita akan lihat secara angka dari peti-peti undi dan daripada itu kita boleh rangka apa strategi yang kita akan guna untuk memperkukuhkan parti BN dan menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Hasil kajian yang dilakukan itu kata beliau, akan berdasarkan kepada fakta-fakta pemerhatian dan bukti.

Mengenai dakwaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa Umno telah "menjadi penyumberan fahaman keterlaluan" kepada Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Muhyiddin berkata, Perkasa yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai perancangannya sendiri.

"Ini (Perkasa) adalah inisiatif yang dibuat oleh pemimpin Melayu tertentu, jadi kalau mereka suarakan perkara tertentu untuk memelihara kepentingan Melayu, itu adalah hak badan bukan kerajaan itu," kata beliau.

Lim menurut Muhyiddin, sama ada dalam ucapan atau tulisan dalam blog turut menyeru kaum-kaum tertentu supaya bersatu atas tujuan menolak hak-hak kaum lain.

Tindakan pemimpin pembangkang itu kata beliau, boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu, "Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia Yang Lebih."

Turut hadir semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri ke bangunan KIK itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan