Siasatan Nahas Pesawat PC7 MKII Hampir Selesai - Rodzali

Diterbitkan: Ahad, 25 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Siasatan punca nahas pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok dan mengorbankan nyawa seorang juruterbang pada 25 Mac lepas kini hampir selesai.

Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Rodzali Daud berkata keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh 10 hari lagi dan akan dimaklumkan kepada pihak atasan di Kementerian Pertahanan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita baru dapat rakaman data penerbangan dari Amerika Syarikat dan Switzerland seminggu lepas dan siasatan kini telah 90 peratus selesai," katanya kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, dekat sini semalam.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai insiden yang mengorbankan juruterbang pesawat itu, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof yang juga jurulatih di KTU.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, pesawat malang itu terhempas kira-kira 12 minit selepas berlepas dari pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia di Kepala Batas dekat sini bagi tujuan latihan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan