Protes Terhadap Blair Berlangsung Secara Aman - Berita Semasa | mStar

Protes Terhadap Blair Berlangsung Secara Aman

Diterbitkan: Ahad, 25 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hampir 100 orang termasuk rakyat Iraq yang tinggal di Malaysia mengadakan protes secara aman di hadapan Sunway Pyramid di sini kerana membantah kedatangan bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair ke Malaysia.

Kumpulan itu mula berkumpul pada pukul 9.30 pagi dengan memegang kain rentang dan poster memaparkan wajah Blair dengan tulisan "War Criminal, Tony Blair, No Entry" dan melaung kata-kata seperti: "Blair adalah seorang penjenayah perang dan "Dakwa Blair di Mahkamah Antarabangsa".

Setengah jam kemudian Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menyertai kumpulan itu dan mereka kemudian membaling selipar dan kasut pada kain rentang yang mempunyai wajah Blair dan memijak sebelum membakarnya.

Kedatangan Blair ke Malaysia adalah untuk memberi ceramah pada satu kongres perniagaan yang berlangsung selama tiga hari yang bermula semalam di Pusat Konvensyen Sunway yang dianjurkan oleh Success Resources Company, sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.

Kira-kira 20 orang anggota polis membuat kawalan sepanjang protes itu berlangsung bagi menentukan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Ibrahim serta empat wakil NGO kemdian dibenarkan oleh pihak polis memasuki pusat konvensyen itu bagi menyerahkan pendakwaan yang dikeluarkan oleh Tibunal Jenayah Perang Kuala Lumpur kepada Blair.

Setengah jam kemudian mereka keluar dan memberitahu pemberita bahawa mereka gagal menemui Blair untuk menyerahkan pendakwaan itu kerana kawalan keselamatan yang ketat tetapi telah menyerahkannya kepada wakil Blair.

Ibrahim berkata beliau telah menerangkan kepada wakil tersebut bahawa antara isi kandungan pendakwaan itu ialah supaya Blair dan rakan sekutunya, bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush seharusnya didakwa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana telah melakukan jenayah perang dengan menyerang Iraq pada 2003.

Katanya Blair dan Bush tidak seharusnya terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka terbukti telah melakukan jenayah perang dengan menyerang negara Iraq sehingga menyebabkan puluhan ribu rakyat negara itu yang tidak berdosa terutama wanita dan kanak-kanak terkorban.

Mengenai kongres perniagaan tersebut, beliau melahirkan kecewa terhadap penganjur kerana menjemput Blair memberi ucapan sedangkan terdapat ramai lagi tokoh terkemuka yang boleh memberi idea dan ucapan yang lebih baik.

Ibrahim juga meminta Yayasan Kepimpinan Perdana menerusi pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meneruskan usaha mereka untuk mendakwa penjenayah perang ke ICJ kerana kezaliman mereka membunuh manusia yang tidak berdosa. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan