Kapal Tunda Singapura Bersama Sembilan Anak Kapal Ditawan Di Perairan Kuantan

Diterbitkan: Selasa, 20 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Sebuah kapal tunda yang didaftarkan di Singapura, dilaporkan hilang bersama sembilan anak kapal, ketika sedang dalam pelayaran di perairan Kuantan sejak malam semalam. Pusat Perkongsian Maklumat Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Membanteras Pelanunan dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP ISC) di sini berkata kapal tunda itu, PU 2007 sedang menunda sebuah tongkang, PU 3316 apabila pemiliknya menyedari kapal tunda itu melencong dari laluan yang ditetapkan kira-kira 11.30 malam.

Kapal tunda berkenaan berlepas dari pelabuhan Kintap, Selatan Kalimantan, Indonesia dan menghala ke arah Teluk Thailand ke pelabuhan Sriracha untuk memunggah kargonya.

Setelah mengesyaki bahawa kedua-dua kapal itu telah dirampas, pemilik kapal melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi dan Kawalan Pelabuhan Singapura yang juga ReCAAP ISC, dan seterusnya memberi amaran kepada semua pihak berkuasa maritim di wilayah ini untuk mencari kapal tunda yang hilang itu.

Kira-kira 3.25 petang ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menggegaskan kapal dan pesawat udara dalam operasi mencari, ternampak tongkang itu di timur-timur laut Kuantan tanpa kapal tunda.

Pusat berkenaan meminta kapal-kapal yang singgah di kawasan terbabit supaya meninjau-ninjau kapal tunda itu yang kali terakhir dilaporkan menghala ke arah Filipina atau Kalimantan.

Ini merupakan insiden kedua rampasan kapal tunda di kawasan berkenaan sejak Januari tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan