Kamalanathan Jambatan Terbaik Kerajaan Pusat Bangunkan Hulu Selangor : Shafie

Diterbitkan: Isnin, 19 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan, akan menjadi jambatan terbaik bagi kerajaan pusat membangunkan kawasan itu sekiranya dipilih pada 25 April ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata selain mengenali secara mendalam kehendak penduduk di sini Kamalanathan juga mempunyai kualiti yang diperlukan oleh kerajaan persekutuan untuk menyalurkan bantuan bagi pembangunan daerah itu.

"Saya dapat lihat bidang pertanian mempunyai potensi yang baik untuk dimajukan dan yakin ia boleh dicapai. Kualiti itu ada pada Kamalanathan kerana beliau merupakan anak tempatan yang mengenali dengan mendalam kehendak pengundi di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu, Batang Kali di sini.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno berkata, berdasarkan gerak kerja dan penerimaan penduduk setakat ini, beliau yakin pengundi akan memberi peluang kepada calon BN itu untuk menjadi penghubung antara daerah Hulu Selangor dan kerajaan pusat untuk sama-sama membangunkan kawasan itu.

Mengulas mengenai tindakan bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor Dr Halili Rahmat keluar daripada parti itu hari ini untuk menyertai Umno, Shafie berkata beliau tidak hairan dengan tindakan itu tetapi terkejut dengan keputusan Dr Halili mahu menyertai Umno.

"Kita tak jangka yang dia akan memasuki Umno. Ini merupakan petanda akan keadaan porak peranda dalam PKR," katanya.

Shafie berkata tindakan individu seperti Dr Halili yang merupakan antara pengasas PKR menampakkan betapa mereka kecewa dengan kepimpinan parti yang dilihat gagal menterjemahkan harapan mereka ketika mula-mula menyertai parti itu dahulu.

"Ini menampakkan keyakinan mereka terhadap pemimpin dan hala tuju parti mereka yang dulu mereka sertai dengan penuh harapan, tidak seperti yang mereka jangkakan. Saya rasa faktor inilah yang menggerakkan hati mereka untuk keluar dan meninggalkan PKR," katanya.

Dr Halili, 58, seorang pakar bedah dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan keluar parti tengah hari tadi dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana PKR telah terpesong jauh daripada perjuangannya yang mana beliau terbabit secara langsung ketika parti itu diasaskan pada tahun 1999 lalu.

Berhubung tindakan bekas Naib Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor V. S. Chandran menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Shafie berkata: "Kalau mereka ini tarik diri, saya harap jangan hanya tarik diri, sokonglah Barisan Nasional."

Chandran, 56, menyerahkan surat menarik diri kepada pegawai pengurus pilihan raya kecil itu Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor tengah hari tadi.

Dengan itu, pilihan raya kecil itu kini melibatkan Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR serta calon Bebas, Johan Md Diah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan