Hulu Selangor: Kerajaan BN Bukan Kerajaan Zalimi Rakyat - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 18 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan yang menzalimi rakyatnya seperti yang digembar-gemburkan pihak pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN sentiasa membela nasib dan tidak mengenepikan kebajikan rakyat.

"Kalau ada pihak yang mengatakan kerajaan BN menzalimi rakyat seperti yang disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kita tak beri perhatian kepada nasib rakyat, adakah penduduk di Hulu Selangor ini mati tak makan," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Choh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti dirinya sering berkata bahawa kerajaan BN sentiasa membela nasib rakyat, tetapi apabila sudah menjadi pembangkang, Anwar berasa tertekan dan sanggup berkata apa sahaja.

"Waktu dia jadi timbalan perdana menteri macam saya, dia berucap berapi-api tak sebutpun kerajaan BN zalim dalam ucapannya, dia kata BN bela rakyat, (sekarang ini) mungkin dia tertekan dengan masalah peribadinya, masalah mahkamahnya," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata jika kerajaan BN menzalimi rakyatnya, sudah pasti akan berlaku kebuluran dan demonstrasi menentang kerajaan seperti di negara jiran.

"Kalau kita sudah zalimi rakyat, sudah banyak rakyat keluar beramai-ramai berarak seperti di negara jiran, mereka akan sengsara, tidak makan, tidak minum. Siapa rakyat yang ada di Hulu Selangor ini mati kebuluran kerana dizalimi oleh kerajaan BN.

"Kalau ada beritahu saya, saya akan bantu," katanya.

Beliau berkata tahun ini merupakan tahun yang penting bagi memastikan tiada rakyat yang miskin tegar supaya mereka dapat hidup lebih baik dan selesa.

"Kalau ada kelompok miskin tegar di Hulu Selangor kita akan bantu, sejak merdeka sebanyak 60 peratus rakyat miskin, tetapi sekarang hanya tiga peratus sahaja yang miskin," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan