Keluarga Teoh Gesa Kerajaan Jamin Keselamatan Dr Pornthip

Diterbitkan: Khamis, 15 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keluarga Teoh Beng Hock hari ini menggesa kerajaan supaya memberi jaminan terhadap keselamatan ahli patologi terkemuka dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, untuk membolehkan beliau memberi keterangan pada inkues Beng Hock.

Adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan berkata, keluarganya dukacita dan bimbang dengan laporan bahawa Dr Pornthip tidak dapat datang ke Malaysia memandangkan beliau sedang berdepan "tekanan politik."

"Dr Pornthip memberi keterangan bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa kematian Beng Hock kerana dibunuh dan bukan membunuh diri. Kami mengharapkan Dr Pornthip boleh membantu kami mencari kebenaran dalam kes kematian Beng Hock.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, Dr Pornthip berkata, berikutan tekanan politik, beliau tidak boleh datang untuk memberi keterangan. Segala-galanya kini kembali kepada asalnya. Macam mana kami tak rasa kecewa?," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini.

Beliau benar-benar berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberi Dr Pornthip jaminan yang diperlukannya, termasuk jaminan rasmi daripada kerajaan dan Pejabat Peguam Negara terhadap keselamatannya, untuk melaksanakan tugas beliau sebagai seorang saksi bebas dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang turut hadir berkata, beliau berharap kerajaan akan menunaikan janji berhubung keselamatan Dr Pornthip. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan