Jangan Terpengaruh SMS Khabar Angin: Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 15 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Orang ramai diminta supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sepanjang kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang bermula Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana beliau tidak menolak kemungkinan tindakan pihak tertentu yang cuba memanipulasi sesuatu perkara untuk menjejaskan ketenteraman awam.

"Semak dengan polis dulu... (perkara ini) dah pun berlaku masa gereja dibakar dan kes di Batu Caves (ekoran isu kalimah Allah)," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Bukit Sentosa, Bukit Beruntung di sini sempena pilihan raya kecil kawasan itu pada 25 April, petang ini.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai kemungkinan tindakan provokasi dan penyebaran khabar angin melalui SMS yang bertujuan mempengaruhi dan mengganggu 64,500 pengundi di kawasan itu.

Hadir sama ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Afendy.

Hishammuddin berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap parti yang bertanding untuk menjaga kelakuan penyokong masing-masing selain bertindak profesional ketika berkempen.

"Ini kerana isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama boleh digunakan untuk membakar sentimen pengundi yang akhirnya menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil kawasan itu yang akan bermula dengan proses penamaan calon Sabtu ini, Hishammuddin mengulangi kenyataannya di Parlimen semalam bahawa lebih 1,000 anggota polis akan dikerahkan ke kawasan itu.

Beliau berkata, sebanyak sembilan balai polis bergerak akan diletakkan di lapan lokasi panas yang dikenal pasti dengan anggotanya beroperasi 24 jam sehari.

Bagi tujuan pilihan raya kecil itu juga sebuah Markas Taktikal (MARTEK) akan dibuka di Maktab Polis Kuala Kubu Baru manakala dua SUBTEK akan dibuka di Hulu Bernam dan Batang Kali.

Beliau berkata, MARTEK dan SUBTEK ini akan mula beroperasi sepenuhnya esok.

SUBTEK bagi Batang Kali akan dibuka di Balai Polis Bukit Sentosa dan boleh dihubungi melalui talian 03-60282222 manakala SUBTEK Hulu Bernam akan beroperasi di Balai Polis Hulu Bernam melalui talian 05-4596389.

Pilihan raya kecil kawasan itu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini manakala pengundian pada 25 April.

Pada sidang media itu juga Hishammuddin berkata, usaha menjaga kebajikan polis adalah usaha berterusan kerajaan dan ini dibuktikan dengan seramai 182 chief inspektor akan dinaikkan pangkat kepada ASP, selepas 744 dinaikkan ke pangkat sama pada Disember lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan