Gaun Bertatah Berlian Di Pameran Pesona Mutiara Rafflesia Di Muzium Negara

Diterbitkan: Khamis, 15 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gaun bertatah berlian berharga RM400,000 serta gaun dan barangan kemas yang dipakai selebriti terkenal termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza adalah antara tarikan untuk mengamit pengunjung ke Pameran Pesona Mutiara Rafflesia di Muzium Negara yang bermula hari ini hingga 16 Mei.

Gaun berharga RM400,000 milik pengasas Jewellery Circles Sdn Bhd, Winnie Sin, yang dipakainya semasa menghadiri malam Gala 4 Diva mempunyai lebih seribu butir mutiara dan busana itu adalah hasil rekaan pereka tanah air, Khoon Hooi.

Pameran Pesona Mutiara Rafflesia itu anjuran Jewellery Circles dan Muzium Negara.

Pengarah Urusan Jewellery Circles, Sin Cheang Loong berkata, beliau mendapat ilham untuk mengadakan pameran gaun dan aksesori selebriti itu semasa isterinya Winnie mereka permata untuk gaun Siti Nurhaliza bagi majlis persandingannya.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Sin berkata antara gaun yang dipamerkan ialah gaun pengantin Siti Nurhaliza, gaun persembahan Konsert 4 Diva Anita Sarawak, gaun perkahwinan model terkenal Amber Chia dan pakaian perkahwinan penyanyi Ning Baizura.

Antara aksesori yang dipamerkan adalah cincin perkahwinan pelakon dan penyanyi Erra Fazira, cincin perkahwinan Siti Nurhaliza, kerongsang loket perkahwinan Ning Baizura dan kerongsang mutiara pereka kasut antarabangsa Prof Datuk Jimmy Choo.

Koleksi kasut yang dipamerkan pula adalah kasut bersulam mutiara Amber Chia dan kasut bersulam mutiara Winnie Sin.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf berkata, penganjuran pelbagai pameran di Muzium Negara mampu meningkatkan kedatangan pengunjung ke muzium itu.

"Telah berlaku peningkatan pengunjung dari tahun lepas iaitu 2.85 juta pengunjung kepada 3.5 juta pengunjung pada tahun ini kerana pada tahun lepas tidak banyak pameran yang diadakan", katanya.

Pameran itu dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 6 petang. Bayaran masuk RM2 bagi yang berumur 12 tahun ke atas dan percuma bagi yang berumur bawah 12 tahun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan