Najib Hadir Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini semalam.

Sidang kemuncak itu bermula selepas Washington melancarkan proses melobi yang sengit untuk beberapa hari untuk meraih sokongan dunia bagi memberi tekanan kepada Iran mengenai program senjata nuklear negara itu.

Menghimpunkan pemimpin dari 46 negara di ibu negara Amerika Syarikat, Obama sedang memohon kerjasama dunia untuk menghalang bahan-bahan nuklear daripada jatuh ke kumpulan pengganas dalam tempoh empat tahun.

Menyifatkan keganasan nuklear sebagai ancaman terbesar terhadap keselamatan sejagat, Obama memohon sokongan Malaysia bagi memainkan peranan dalam pelucutan senjata nuklear khususnya dalam soal Iran ketika perbincangan dua hala dengan Najib Isnin lepas.

"Presiden Obama sedar hubungan rapat kami dengan Iran. Saya beritahu Presiden Obama bahawa dasar kami adalah jelas. Iran mempunyai hak menggunakkan tenaga nuklear untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan tetapi kita tidak menyokong program senjata nuklear," kata Najib kepada pemberita Malaysia di sini.

Najib juga melahirkan harapan bahawa Iran akan memenuhi tanggungjawabnya kepada masyarakat global dan mengelak daripada memajukan kapasiti nuklearnya di mana dia berkata ia boleh mengakibatkan ketidakstabilan dan konfrontasi.

Pemangku Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim mengiringi Perdana Menteri pada sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Walter E.Washington di sini.

Malaysia menentang pembangunan senjata nuklear dan merupakan negara yang mematuhi Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara pada 1995, sebuah perjanjian antara 10 negara anggota ASEAN.

Malaysia juga mempengerusikan lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diwakili pada sidang keumcak itu oleh ketua pengarahnya Yuki Amano.

Obama telah menggariskan hasratnya untuk meneruskan agendanya, yang diumumkan pada sesi pleno semalam, bahawa sidang kemuncak seterusnya akan dihoskan olek Korea Selatan pada 2012, dengan mengenakan tekanan kepada Korea Utara, sebuah lagi negara yang memajukan senjata nuklear.

Iran dan Korea Utara tidak dijemput menyertai sidang kemuncak itu di sini.

Obama akan menpengerusikan kesemua tiga sesi pleno bagi membincangkan tindakan kebangsaan dan antarabangsa bagi menguasai bahan nuklear dan membendung pengedaran haram bahan dan peralatan untuk membuat senjata nuklear dan peranan IAEA dalam keselamatan nuklear.

Sidang kemuncak itu akan berakhir esok dengan kenyataan bersama dan sidang media oleh Obama. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan