BN Tidak Akan Bersikap Terlalu Yakin Menangi PRK Hulu Selangor - TPM

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan bersikap terlalu yakin pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor sebaliknya jentera pilihan raya parti akan giat bekerja untuk memperoleh kemenangan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata jentera pilihan raya BN akan mengambil sikap berhati-hati dan bekerja keras untuk menghadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menamakan Datuk Zaid Ibrahim, sebagai calonnya pada pilihan raya kecil 25 April ini.

"Kita biasanya tidak akan mengambil sikap terlalu yakin kerana kita sukar membaca sikap pengundi secara total, mereka mungkin kata ya, tetapi di belakang mungkin kata tidak, atau mereka kata tidak tapi sebenarnya ya.

"Apa yang penting ialah kita bekerja keras, kita tidak boleh (seperti) orang kata ambil mudah kononnya kita pasti menang. Sikap ini bagi saya dari awalpun tidak baik, jadi kita akan berhati-hati," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut diminta mengulas peluang BN merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

"Kami mempunyai peluang setara. Saya percaya berdasarkan kepada sentimen yang terkini di mana di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), angin perubahan sudah berlaku, ekonomi sudah bertambah baik dan berbagai-bagai faktor yang memberikan kelebihan kepada kita, saya harap itu akan menjadi asas pertimbangan oleh pengundi," katanya.

Timbalan Presiden Umno itu turut diminta mengulas pemilihan Zaid, yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai calon PKR untuk pilihan raya kecil itu.

"Saya dimaklumkan dia dipilih kerana dia banyak duit. Itu maklumat yang saya terima daripada banyak saluran media. Jadi bukan pasal dia boleh berkhidmat ke, siapa yang tidak kenal Zaid Ibrahim, apapun, itu keputusan mereka, kita akan hadapi calon ini," katanya.

Muhyiddin yakin penduduk dan pengundi di kawasan Hulu Selangor mahukan orang tempatan mewakili mereka.

"Jadi, PKR mungkin ada strateginya sendiri, itu hak mereka," katanya.

Beliau berkata calon PKR itu juga mempunyai rekod keluar masuk pelbagai parti politik dan perkara itu boleh dijadikan pengukur oleh pengundi bagi memilih calon terbaik untuk mewakili mereka.

Ditanya mengenai percaturan BN meletakkan calon MIC di kawasan yang majoriti penduduknya adalah Melayu, Muhyiddin berkata: "Bagi saya, yang penting pengundi tahu siapa yang mereka mahu. Mereka tidak mungkin melihat daripada sudut kaum, mereka melihat siapa yang mereka fikir boleh membantu menyelesaikan masalah, dan biasanya, yang mereka mahu ialah orang yang sudah faham (masalah di kawasan berkenaan)." - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan