BN Perak Tidak Akan Main Isu Fitnah Di Hulu Selangor: Zambry

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) Perak tidak akan memainkan isu-isu berunsur fitnah pada kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor nanti, kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, sebaliknya BN akan menekankan aspek kebajikan rakyat dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh BN berdasarkan fakta dan bukti.

"Jentera pilihan raya BN Perak akan mengetengahkan segala dasar dan pengalaman berdasarkan fakta dan bukti yang telah dilaksanakan untuk kebajikan rakyat," kata Menteri Besar itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak di sini hari ini.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan selepas kerusi tersebut kosong apabila penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini manakala pengundian pada 25 April. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan