50 NGO Bantah Lawatan Tony Blair Ke Malaysia - Berita Semasa | mStar

50 NGO Bantah Lawatan Tony Blair Ke Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengutuk sebuah syarikat yang beribu pejabat di Singapura yang berhasrat menjemput bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair memberikan ceramah pada kongres perniagaan di sini, 24 April ini.

NGO itu menyatakan bahawa mereka membantah sekeras-kerasnya jemputan syarikat itu, Success Resources Company, kerana peranan Blair dalam pendudukan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat di Iraq pada 2003, yang mengakibatkan kematian lebih sejuta rakyat Iraq.

Blair boleh disamakan seperti seorang "penjenayah perang".

"Kita sangat dukacita dengan syarikat Singapura itu yang menganjurkan ceramah tersebut dan menjemput Tony Blair berceramah di sini," menurut setiausaha kehormat Pertubuhan Perdana Global Peace, Dr Zulaiha Ismail yang mewakili semua NGO berkenaan pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, NGO itu bersama-sama membuat bantahan mengenai jemputan tersebut termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Belia 4B Malaysia, Persekutuan Persatuan Kwong Siew Malaysia, Viva Palestina Malaysia dan Yayasan Perang Penjenahan Kuala Lumpur.

"NGO di Malaysia, anggota dan penyokongnya simpati dengan rakyat Iraq kerana penaklukan keutuhan negara mereka oleh pasukan multinasional yang diketuai Amerika Syarikat dan United Kingdom dan terpaksa menanggung kesengsaraan teruk terutamanya wanita dan kanak-kanak," tambah beliau.

Beliau berkata, NGO itu berharap penganjur menarik balik jemputan kepada Blair sambil menambah petisyen dalam talian www.perdana4peace.org telah dibuka dan setakat ini 2,800 tandatangan individu telah diterima. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan