Hulu Selangor: PKR Calonkan Zaid Ibrahim - Berita Semasa | mStar

Hulu Selangor: PKR Calonkan Zaid Ibrahim

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menamakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.

Menurut sumber biro politik parti itu, keputusan tersebut diputuskan sebulat suara oleh Majlis Pimpinan pusat parti itu yang bermesyuarat malam tadi.

Difahamkan pemilihan Zaid dibuat kerana beliau merupakan seorang calon ideal mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat Cina dan India di kawasan itu.

Bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru itu pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan menang selepas kerusi itu dikuasai PAS selama 12 tahun dan sepenggal di bawah PKR.

Pernah menerajui firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co (ZICO).

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun 2008 Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum itu.

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada Umno pada 2 Disember kerana membuat tindakan yang bertentangan dengan etika parti.

Zaid kemudiannya membuat satu lagi keputusan mengejutkan apabila menyertai PKR pada Jun 2009.

Penasihat PKR yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai calon yang akan mewakili parti itu dalam satu ceramah di Pusat Komuniti Serendah malam ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon BN, Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Pada konvensyen BN minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.

BN akan mengumumkan calonnya Khamis ini dan pengumuman tersebut bakal dibuat oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel disebut-sebut sebagai calon tunggal yang dicalonkan oleh parti itu.

Namun terdapat beberapa nama lain yang turut menjadi perhatian kerana dikatakan mempunyai potensi diangkat sebagai calon.

Antaranya ialah Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor V. Mugilan dan Ketua Penerangan MIC pusat, P. Kamalanathan.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon, manakala hari mengundi pada 25 April ini.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan