H1N1: Seorang Peguam Lelaki Mangsa Terbaru

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Baharu, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Baharu.

Beliau berkata kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lepas.

"Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

"Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia semalam disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan 'Acute Respiratory Distress Syndrome," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini hari ini.

Dr Ismail berkata dua kematian yang melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lepas, bukan disebabkan oleh jangkitan virus H1N1.

"Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (semalam) berkaitan dengan H1N1," katanya.

Dua beranak iaitu Maimunah Dimah, 54, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) manakala anaknya, Sumarni Mat Nor, 29, yang sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan gejala ILI dan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

Dr Ismail menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda-tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang boleh menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

"Oleh itu langkah-langkah pencegahan yang disarankan serta rawatan awal dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 678 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 kes disahkan positif H1N1 manakala lima kes dirawat di ICU.

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan H1N1 2009 masih lagi aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sememangnya terdapat peningkatan aktiviti jangkitan H1N1 dengan peningkatan bilangan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian-kejadian kluster yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Dr Ismail berkata bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda ILI dan berterusan selama 48 jam atau ujian pantas influenza adalah positif, rawatan hendaklah dimulakan tanpa memerlukan ujian pengesahan H1N1.

Beliau berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir sekiranya gejala ILI telah menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah terbabit dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Pelajaran berkenaan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan