Badan Pemantauan PBT Akan Ditubuhkan

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Satu badan pemantauan dan unit aduan yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Biro Pengaduan Awam akan ditubuhkan tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata, badan pemantauan itu akan membincangkan tentang aduan rakyat di sesebuah kawasan PBT serta mengenalpasti cara menanganinya.

Untuk tujuan itu katanya, semua PBT akan dipanggil pada awal bulan Mei bagi membincangkan penubuhan badan pemantauan itu.

Katanya, penubuhan badan itu perlu kerana kegagalan PBT menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna kepada rakyat akan menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan.

"Rakyat marah dengan PBT yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna seperti tidak memungut sampah, membiarkan longkang tersumbat dan tidak memotong rumput yang sudah panjang," kepada pemberita selepas meninjau pengendalian aduan dan perkhidmatan pengguna di Menara Sunway Annex di sini.

Oleh kerana marah kawasan mereka tidak diuruskan dengan baik, rakyat memberikan pengajaran kepada PBT berkenaan menerusi peti undi dan tempiasnya pula kena pada kerajaan, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan