Malaysia Ucap Takziah Kepada Poland

Diterbitkan: Isnin, 12 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mengucapkan takziah kepada Poland di atas tragedi kapal terbang terhempas yang mengorbankan Presidennya Lech Kaczynski dan isteri Maria Kaczynska serta anggota delegasi yang menyertai lawatan ke Smolensk, di Barat Rusia pada Sabtu lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam mesej baginda kepada Pemangku Presiden Poland Bronistaw Komorowski, berkata Malaysia turut bersedih bersama-sama rakyat Poland di atas tragedi itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Najib Tun Razak juga mengucapkan takziah dan simpati kepada rakan sejawatannya Donald Tusk, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.

Najib menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kehilangan tragis kepada Poland dan berharap keluarga mereka yang terlibat memperolehi kekuatan dalam menghadapi kehilangan yang tidak berganti itu.

Turut mengucapkan takziah ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan dan simpati kepada rakan sejawatan yang juga Menteri Ekonomi Poland Waldemar Pawlak.

Muhyiddin hari ini menandatangani buku ucapan takziah bagi pihak kerajaan Malaysia di Kedutaan Poland di sini.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga menghantar mesej serupa kepada rakan sejawatannya Radoslaw Sikorski. Beliau berkata tragedi itu adalah kehilangan besar kepada Poland.

Dalam tragedi 10 April itu, pesawat yang membawa delegasi Poland tersebut terhempas berhampiran Lapangan Terbang Smolensk, di barat Rusia, dan mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Delegasi Poland itu dalam lawatan sempena ulangtahun ke-70 pembunuhan beramai-ramai Katyn. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan