KDN Bantu Dapatkan Taraf Warganegara Anak Lahir Di Luar Negara

Diterbitkan: Isnin, 12 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN)menyediakan satu mekanisme bagi membantu mendapatkan taraf warganegara Malaysia bagi anak wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada masa ini tidak terdapat sebarang peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan taraf kewarganegaraan Malaysia diberi secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita bertaraf warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing.

Ketika ini taraf kewarganegaraan hanya diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada bapa yang bertaraf warganegara Malaysia, katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata sebagai langkah untuk mengatasi unsur diskriminasi berasaskan gender berkaitan isu ini, KDN telah memutuskan satu peraturan baru tanpa melibatkan pindaan undang-undang.

"Antara syarat-syarat permohonan adalah ibu dan bapa kepada pemohon hendaklah membuat permohonan secara bersama dalam borang yang ditetapkan," katanya.

"Ini penting bagi mengelakkan pertikaian dan pertindihan taraf kewarganegaraan anak antara ibu bapa kepada kanak-kanak di kemudian hari dan menjaga imej kerajaan Malaysia," katanya.

Hishammuddin berkata syarat lain adalah kedua ibu dan bapa juga hendaklah hadir di hadapan pegawai Konsular di mana-mana Pejabat Kedutaan Malaysia.

Selain itu, katanya permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh setahun daripada tarikh kelahiran kanak-kanak.

Beliau berkata antara syarat lain adalah pemohon-pemohon yang telah diluluskan taraf kewarganegaraan bagi anaknya hendaklah hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara bersama anaknya untuk memohon Sijil Warganegara dan MyKid.

"Melalui mekanisme ini, semua warganegara Malaysia sama ada wanita atau lelaki yang berkahwin dengan warga asing, boleh memohon taraf kewarganegaraan Malaysia bagi anaknya yang dilahirkan di luar negara," katanya.

Hishammuddin berkata pendekatan itu diharapkan dapat menangani masalah rakyat khususnya kaum wanita yang selama ini mengalami kesukaran untuk memastikan anak mereka hasil perkahwinan dengan warganegara asing di luar negara boleh mendapatkan taraf warganegara Malaysia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan