H1N1: Sistem Pengawasan Dan Kesedaran Awam Dipertingkatkan

Diterbitkan: Isnin, 12 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan meningkatkan sistem pengawasan dan kempen kesedaran awam dalam usaha untuk mengekang kemunculan semua wabak Influenza A(H1N1).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berikutan itu, jawatankuasa teknikal kementerian itu akan mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat mengenai langkah-langkah pencegahan.

Beliau berkata mesyuarat itu dijangka diadakan selewat-lewatnya Rabu ini dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

"Apa yang paling penting sekarang adalah peringkat mitigasi. Kami akan meneruskan rawatan. Menyebarkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai pentingnya kebersihan diri adalah sangat penting," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Pelancongan Penjagaan Kesihatan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia masih diletakkan di bawah kategori amaran tinggi peringkat enam, iaitu pada peringkat pandemik, selepas peringkat amaran dinaikkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan wabak tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata stok vaksin ketika ini adalah mencukupi untuk kira-kira 400,000 dos dan jumlah kumpulan berisiko tinggi yang tampil mendapatkan suntikan Tamiflu menunjukkan peningkatan.

Sehingga kini, lebih 651 orang dimasukkan ke wad akibat penyakit seperti influenza (ILI) dengan 85 positif H1N1. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan