Pertemuan Najib-Obama Buka Vista Baru Hubungan Dua Hala

Diterbitkan: Ahad, 11 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Perhubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat bakal menempuh vista baru dengan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama, di sini Isnin ini.

Pertemuan itu akan menentukan bagaimana kedua-dua negara itu mengubah hala tuju perhubungan mereka, kata Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais, yang merupakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata, Najib dan Obama dijangka membincangkan beberapa perkara penting termasuk perhubungan dua hala dan peranan Malaysia dalam dunia Islam.

Perkara yang dijangka turut ditimbulkan ialah Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 yang diluluskan oleh Malaysia pada peringkat Dewan Rakyat minggu lepas dan isu-isu berkaitan keselamatan di rantau Asia.

"Seperti yang dilihat, ini adalah pertama kali Perdana Menteri kita dapat berbincang dengan secara ikhlas dengan presiden Amerika dalam perbincangan secara dua hala dan isu-isu ini akan menentukan warna dan juga masa depan hubungan antara kedua-dua negara," Rais berkata kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat pra-majlis bersama Najib yang tiba di sini Sabtu untuk lawatan kerja selama seminggu.

Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 itu yang mengambil masa hampir lima tahun untuk digubal adalah untuk membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras percambahan senjata pemusnah besar.

Perdana Menteri merupakan antara hanya dua pemimpin dari Asia yang akan bertemu dengan Obama sebelum mereka menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear dua hari bersama-sama 48 pemimpin lain dunia di sini untuk membincangkan inisiatif Obama untuk membanteras keganasan nuklear.

Obama juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Hu Jintao dari China.

Rais, yang pernah memegang jawatan Menteri Luar sebelum ini, yakin hubungan Malaysia-Amerika Syarikat berada pada persada baru di bawah kepimpinan Najib yang merupakan Perdana Menteri negara yang keenam.

"Memang takat ini, boleh saya nyatakan apa yang berlaku sekarang lantaran peluang yang diperolehi oleh Perdana Menteri kita, ini merupakan satu vista yang baru, perkembangan yang sebelum ini tidak wujud dalam sejarah hubungan dua hala Malaysia dan Amerika.

"Saya yakin masa depan hubungan kedua-dua negara ini akan menempuh vista baru atau pun jendela baru bukan sahaja berkaitan dengan soal-soal politik antarabangsa, soal-soal perniagaan dan juga persoalan Guantanamo dimana dua orang warga Malaysia yang masih berada dalam tahanan," kata Rais.

Amerika juga mungkin melihat kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah muncul dengan perolehan status dalam dunia Islam, kata Rais, dan ini mungkin dibincangkan oleh Najib dan Obama.

Najib sendiri telah membangkitkan isu penahanan dua warga Malaysia di Guantanamo ketika Obama menelefon Perdana Menteri pada Jun tahun lepas untuk membincangkan isu-isu semasa.

Malaysia mahu Mohd Farik dan Mohammad Nazir yang merupakan antara 250 warga asing yang ditahan di Guantanamo dihantar pulang untuk diadili menurut proses perundangan Malaysia.

Kedua-dua ditahan kerana didakwa terlibat dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda sejak 2003. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan