Pameran Mini Maha Bukan Gimik Politik - Noh

Diterbitkan: Ahad, 11 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Partanian (Mini Maha) yang diadakan di sini mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Beliau berkata program tersebut telah dirancang lebih awal dan diadakan bagi mendekatkan rakyat dengan pegawai di kementeriannya di samping memberi pendedahan kepada pengusaha baru untuk memulakan kegiatan pertanian.

"Program Mini Maha ini telah dirancang lebih awal untuk diadakan dan Hulu Selangor dipilih sebagai tuan rumah kali ini," katanya pada sidang media selepas perasmian Mini Maha, di sini semalam.

Beliau berkata satu pameran Maha peringkat antarabangsa juga akan diadakan pada November ini dan antara negara yang dijangka menyertainya ialah Australia dan New Zealand serta negara Eropah.

"Kami mensasarkan 2 juta pengunjung pada pameran itu nanti," katanya.

Pada majlis malam ini, Noh turut mengagihkan RM6.4 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu sektor pertanian, penternakan dan penanaman di daerah Hulu Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan