Bajet 2010: Kementerian Kewangan Akan Lulus Tambahan RM12 Bilion

Diterbitkan: Ahad, 11 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEM KEWANGAN AKAN LULUS PERUNTUKAN TAMBAHAN RM12 BILLION KPD BAJET 2010 IPOH, 11 April (Bernama) Kementerian Kewangan akan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM12 billion kepada Bajet 2010 yang diluluskan kerajaan sebelum ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Ahmad Hanadzlah. Beliau berkata sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). "Sebahagian daripada peruntukan tambahan itu akan diberikan kepada enam NKRA dan beberapa kementerian yang memerlukan peruntukan tambahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pembangunan Generasi Muda Parlimen Tambun di Insititut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini hari ini. Selain itu, beliau berkata Model Ekonomi Baru dijangka dapat digunapakai mulai RMK-10 selepas pandangan pelbagai pihak diambil sebagai input. "MEB sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, orang awam, pelabur asing dan pegawai kerajaan yang mahu memberikan imput. Saya yakin kerajaan boleh melaksanakan MEB pada bulan Jun ini," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata pihak kerajaan masih dalam perbincangan untuk meneliti inisiatif dan trend yang menepati keperluan negara untuk dimasukkan dalam Bajet RMK-10. Katanya kerajaan sedang menerima imput untuk diteliti dan dinilai sebelum dimasukkan dalam RMK-10 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan