SPR Jangka Terima Notis Maklum Kematian Robert Lau Isnin Depan

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menerima notis rasmi memaklumkan kematian Ahli Parlimen Sibu, Datuk Robert Lau Hoi Chew Isnin depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR pada dasarnya mempunyai tempoh 10 hari untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya kecil sebaik sahaja berlaku kekosongan kerusi.

Abdul Aziz berkata SPR masih menunggu notis pemakluman rasmi dari Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

"Saya menjangkakan notis itu akan dihantar pada Isnin depan, jadi selepas itu SPR boleh bermesyuarat untuk menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan seterusnya mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan," katanya.

Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan hari ini.

Robert Lau, 68, meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur pagi ini selepas sekian lama bertarung dengan penyakit barah yang dihidapinya.

Setiausaha Sulitnya, Peter Hu berkata jenazah mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak untuk disemadikan.

Abdul Aziz berkata tarikh esok dikira sebagai hari pertama selepas kematian mendiang, justeru SPR mempunyai sehingga pertengahan bulan ini untuk membuat pengumuman rasmi.

"SPR perlu menerima notis secara rasmi sebelum boleh mengadakan sebarang mesyuarat berkaitan perkara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan