Terengganu Pasang CCTV Tangani Isu Rempit

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di jalan-jalan dalam bandar sebagai usaha membanteras golongan mat rempit selain mengenal pasti mereka yang terlibat untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kerajaan menyedari masalah sosial yang turut melibatkan gadis-gadis dikenali sebagai minah rempit yang semakin kronik terutama di kawasan-kawasan perindustrian.

"Mereka ini menunggang motosikal dengan cara aerodinamik atau seperti superman, menggunakan kapcai atau skuter dan secara bergerombolan yang menyusahkan pihak penguatkuasa untuk mengambil tindakan," katanya semasa menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang menubuhkan pasukan penguatkuasaan khas melibatkan pelbagai agensi dalam menangani masalah itu.

Abdul Rahin berkata, jawatankuasa itu turut disertai polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela, dan pegawai majlis daerah untuk bersama-sama mencari kaedah terbaik mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah nilai kepada perancangan ini, termasuk membiayai daripada segi kos kerja lebih masa anggota-anggota pasukan penguatkuasa khas tersebut, jika perlu.

"Pasukan ini tidak mengira parti, kita alu-alukan jika pihak sebelah sana (PAS) ingin turut serta. Fungsi pasukan ini ialah mencari kaedah-kaedah yang paling sesuai menangani masalah ini, contohnya bila 10 orang penguatkuasa berdepan dengan 500 mat rempit ni," katanya.

Pembangkang juga diminta untuk turut memikul tanggungjawab sosial menangani masalah itu dengan menyelitkan nasihat kepada golongan belia terlibat menerusi ceramah-ceramah yang dibuat mereka.

"Melihat sahaja gelagat mat rempit ni tanpa buat apa-apa juga menjadi satu kesalahan daripada segi sosial, kita harap dalam ceramah-ceramah Pas nanti boleh beritahu anak-anak muda ini jangan merempit, jangan berperangai macam samseng," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan