Pengerusi DAP Perak Diberi Kelonggaran Tampil Beri Keterangan

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang sepatutnya tampil memberi keterangan hari ini berhubung dakwaannya terhadap polis semasa sidang Dewan Undangan Perak (DUN) Perak, telah diberi kelonggaran kerana menghadiri sidang Parlimen.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis memberi kelonggaran terhadap Ngeh disebabkan beliau perlu berada di Parlimen.

"Saya diberitahu, dia (Ngeh) berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan Parlimen. Jadi, kita beri kelonggaran kepadanya tetapi selepas itu (persidangan Parlimen) kita akan memintanya hadir memberi keterangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah sempena Hari Polis ke 203 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Notis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan yang juga Ahli Parlimen Beruas itu dikeluarkan Selasa lepas dan beliau diberi tempoh dua hari sehingga hari ini untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Polis memulakan siasatan pada 1 April lepas setelah menerima dua laporan polis daripada orang awam berhubung dakwaan Ngeh itu.

Lima individu termasuk pengadu dan wakil media telah memberi keterangan berhubung kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948.

Ngeh dilaporkan membuat kenyataan "polis akan menembak sesiapa saja yang tidak disukainya" dalam sidang akhbar selepas perasmian sidang DUN Perak 30 Mac bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran ramai anggota polis semasa persidangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan