Nazri Jelas Keputusan Hantar Dua Anggota Bebas Ke AS

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menghantar dua Ahli Parlimen Bebas mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat adalah bagi memastikan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mempunyai anggota yang mencukupi pada persidangan Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertanggungjawab menjaga Parlimen berkata, hal ini penting memandangkan sekarang telah menjadi kebiasaan pembangkang untuk mengadakan undian belah bagi dalam persidangan.

"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk tidak menghantar anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk turut serta dalam rombongan tersebut.

"Kita kena tentukan bahawa jumlah Ahli Parlimen BN mesti lebih pada setiap masa. Dalam masa yang sama tak hantar dari pembangkang yang bukan Bebas kerana tak mahu dituduh nanti, kita hantar mereka dengan tujuan memastikan jumlah mereka kurang," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bahawa kerajaan mengetepikan Ahli Parlimen BN dan menganggap mereka sebagai Ahli Parlimen kelas kedua.

Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa, Lim mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menghantar dua Ahli Parlimen Bebas, iaitu Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), bagi menghadiri pelancaran Kokus (Kongres) Malaysia-Amerika Syarikat di Washington, Rabu depan bersama Perdana Menteri.

Nazri berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa tiada Ahli Parlimen BN yang dibenarkan ke luar negara sewaktu persidangan Parlimen sedang berlangsung.

"Jadi sebab itu yang ikut PM cuma Rais (Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim) saja. Jadi saya hantar Bebaslah. Sebab jadi amalan, setiap kali lawatan PM yang terdiri daripada pegawai, menteri, kita selalu hantar MP," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan