Gani Patail Cadang Universiti Tubuh Pusat Bantuan Guaman

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINTOK: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mencadangkan agar semua institusi pengajian tinggi yang mempunyai pensyarah perundangan menubuhkan Pusat Bantuan Guaman bagi membantu orang ramai memperoleh khidmat guaman di samping menjadi medium meningkatkan kualiti universiti dan graduannya dalam bidang itu.

Beliau berkata, individu yang mempunyai masalah perundangan boleh mendapat khidmat guaman daripada pusat itu bagi membantu mereka di mahkamah.

"Khidmat guaman sangat penting, kalau nak buat sendiri (tidak guna khidmat peguam) memang tak boleh buat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kerjaya untuk pelajar program undang-undang Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.

Abdul Gani berkata, pusat itu dapat memberi latihan dan membantu pensyarah dalam bidang perundangan untuk menambah baik kualiti pengajaran sekaligus melahirkan graduan yang lebih berkualiti.

"Penubuhan pusat bantuan guaman ini merupakan langkah yang sangat baik kerana ramai orang menghadapi masalah perundangan tidak mampu membiayai yuran guaman, jadi ia dapat membantu orang miskin," katanya.

Abdul Gani berkata, Jabatan Peguam Negara sedia membantu universiti dalam mengendalikan pusat berkenaan dan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran kepada mereka.

"Kami juga boleh bekerjasama dengan universiti untuk menyediakan peluang kepada pensyarah untuk disandar dengan kami bagi menambah kemahiran mereka," katanya.

Abdul Gani berkata, beliau yakin universiti dapat menggerakkan pusat berkenaan dengan baik kerana masing-masing mempunyai pensyarah perundangan yang berkemahiran. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan