PM Kata 1Malaysia Bukan 1Israel

Diterbitkan: Rabu, 7 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep 1Malaysia ialah idea asal dan bukan ditiru dari Israel atau dari mana-mana di dunia.

"Ia adalah idea saya dan sesetengah rakan saya" kata beliau di hadapan lebih 100 wartawan asing yang berpejabat di Singapura pada jamuan makan gala anjuran Persatuan Koresponden Asing (FCA) Singapura di sini malam semalam.

Katanya konsep 1Malaysia adalah ciptaan Malaysia dan beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia berasal dari Israel atau negara lain.

Baru-baru ini, ketua pembangkang Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa konsep 1Malaysia Najib ada persamaan dengan konsep "One Israel".

Perdana Menteri itu berkata sungguhpun konsep satu bukan baru kerana banyak negara seperti China menggunakannya untuk mempromosi semangat pemilikan atau bersama-sama di kalangan rakyatnya, konsep 1Malaysia lebih daripada itu, iaitu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Najib yang tiba di sini lewat petang semalam dengan diiringi isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor untuk menghadiri jemputan FCA, berucap selama setengah jam sebelum sesi soal jawab selama 45 minit.

Perdana Menteri memulakan ucapannya dengan panjang lebar mengenai konsep 1Malaysia dengan mengatakan ketika beliau mengambil alih jawatan itu beliau menyedari bahawa pengundi mahukan satu perubahan transformasi yang besar dan bukan secara pertambahan dalam mentadbir negara.

Beliau berkata tsunami politik pada pilihan raya umum 2008 apabila Barisan Nasional (BN) buat kali pertama hilang majoriti dua-pertiga di Parlimen, menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan politik dan ekonomi yang besar di Malaysia.

Najib menerangkan bagaimana konsep 1Malaysia diilhamkan dan ia menjadi satu program yang berjaya seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Ekonomi Baru (MEB), yang menjadi tonggak utama konsep itu.

Beliau berkata konsep itu merupakan satu falsafah panduan untuk kerajaan Malaysia memberikan khidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan budaya, yang menekankan bahawa hasrat utama mana-mana kerajaan ialah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata kini beliau merasakan lebih selesa kerana telah meletakkan landasan untuk pembangunan Malaysia dan tindakan segera sekarang ialah bagi melaksanakan semua program itu untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata penarafan terhadap kepimpinan beliau telah ditunjukkan oleh undian persendirian bahawa keyakinan kuat di kalangan rakyat yang Malaysia kini menuju hala tujunya.

Semasa soal jawab, Najib berkata tidak mungkin Malaysia dan Singapura akan bersatu semula pada masa akan datang, dengan mengatakan "secara realistik, ia tidak mungkin akan berlaku dan terlalu trauma untuk mengadakan satu penyatuan semula politik."

Perdana Menteri berkata beliau lebih ingin melihat rakyat dari kedua-dua negara berjiran ini untuk bekerjasama dalam semua bidang terutamanya ekonomi.

Najib juga berkata tidak ada rancangan segera untuk menswastakan Petronas kecuali bagi dua anak syarikatnya yang diumumkan baru-baru ini.

Perdana Menetri dan isteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis makan malam itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan