K'jaan Bimbang Peningkatan Perokok Wanita - Berita Semasa | mStar

K'jaan Bimbang Peningkatan Perokok Wanita

Diterbitkan: Rabu, 7 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kadar peningkatan bilangan wanita yang merokok sejak kebelakangan ini semakin membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara sebab yang menjadikan bilangan perokok wanita semakin bertambah adalah kerana percaya bahawa dengan merokok, ia mampu mengawal berat badan selain untuk menguruskan badan.

"Mengikut kajian yang kita buat, memang kebelakangan ini bilangan perokok di kalangan wanita meningkat dan ini satu trend yang membimbangkan.

"Tanggapan menyatakan bahawa menghisap rokok ini dapat kuruskan badan adalah tidak berasas," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu mengenai trend wanita merokok yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.

Liow berkata, wanita yang mempunyai kepercayaan sedemikian seharusnya merujuk kepada klinik atau hospital bagi mendapatkan bimbingan kaunseling yang lebih tepat mengenai kesan buruk daripada tabiat tersebut terhadap kesihatan.

Menjawab soalan asal Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai langkah mengatasi kegemukan melampau yang menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit, beliau berkata, jururawat dan penolong pegawai perubatan juga telah diberikan kuasa untuk memainkan peranan memberikan perkhidmatan kaunseling diet pemakanan dan aktiviti fizikal kepada orang ramai.

"Kita tidak lagi menghadkan aktiviti memberi kaunseling kepada pegawai perubatan sahaja seperti sebelum ini bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurangan berat badan di klinik kesihatan kerajaan," katanya.

Katanya, langkah lain ialah dengan melibatkan penempatan 172 pakar perubatan keluarga di 151 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.

"Ini bagi membolehkan individu obes yang turut mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung mendapatkan rawatan pakar dengan mudah," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan