Kerajaan Setuju Pos Malaysia Naikkan Tariff Perkhidmatan

Diterbitkan: Rabu, 7 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengkaji semula tarif perkhidmatan pos secara berpatutan berkuat kuasa Julai ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim hari ini.

Dengan itu katanya, Pos Malaysia Bhd akan menyelaraskan tarif perkhidmatan pos dengan kenaikan gaji serta elaun posman dan kerani pos untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau mengulas pengumuman Pos Malaysia semalam bahawa tarif perkhidmatan pos serta harga setem yang tidak disemak semula sejak pengkorporatan agensi Pos Malaysia pada 1992.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku bergambar berjudul "Pak Lah" yang mengabadikan sebahagian besar detik-detik kerjaya Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri ke-lima negara ini.

Pos Malaysia adalah satu syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Dr Rais berkata, surat menyurat korporat, surat perniagaan serta sampul surat tertentu akan dinaikkan mengikut kadar sedunia.

"Ia tidak akan menjejaskan orang ramai kerana kenaikan tarif hanya melibatkan 10 peratus orang ramai dan 90 peratus badan korporat.

"Saya yakin Pos Malaysia dapat mengatasi masaalah ini secara dalaman," katanya.

Dr Rais menyatakan bahawa semakan semula yang menyeluruh perlu setimpal dengan tarif penghantaran surat dan kos industri sedunia.

"Pos Malaysia terpaksa berhadapan dengan kos perbelanjaan tinggi, yang tidak kurang RM66 juta setiap tahun," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan