Kerajaan Akan Kurangkan Subsidi Gula Secara Berperingkat

Diterbitkan: Rabu, 7 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Subsidi gula akan ditarik balik secara berperingkat sebagai salah satu usaha kerajaan membangkitkan kesedaran rakyat tentang masalah kesihatan akibat pengambilan berlebihan bahan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, bagaimanapun kerajaan akan memastikan kenaikan harga gula selepas itu berlaku secara minimum.

"Saya harap apabila pihak kerajaan menarik subsidi gula secara berperingkat, rakyat dapat menerimanya kerana kita buat demi untuk menjaga kesihatan rakyat sebagai pengguna," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Kurangkan Pengambilan Gula dan Peranan Koperasi, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kerajaan belum berhasrat untuk menaikkan harga bahan itu.

"Kita akan kira kosnya, kalau nak kurangkan subsidi pun tidak akan bebankan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun ini kerajaan membelanjakan RM1.008 bilion untuk subsidi gula atau 80 sen setiap kilo bagi memastikan harga bahan itu kekal pada RM1.65 sekilogram.

Dalam ucapannya sebelum itu Tan berkata, hasil penjimatan subsidi itu akan diguna untuk projek pembangunan rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Tan juga memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang antara lain menyatakan jumlah pesakit diabetes di negara ini dijangka meningkat kepada 2.5 juta orang menjelang 2030, berbanding 1.2 juta sekarang.

Justeru kata Tan, sewajarnya rakyat Malaysia mula mengamalkan gaya hidup sihat yang bukan saja dapat membentuk minda cerdas tetapi juga badan cergas sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan