Pemetik Api Dipercayai Punca Kebakaran Rumah Di Tumpat

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dikatakan bermain dengan pemetik api dipercayai menjadi punca kebakaran rumah keluarganya di Kampung Kubang Raja, Wakaf Baharu di sini pagi tadi.

Namun Mohd Danial Maarof sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah tersebut dalam kejadian kira-kira 11 pagi, ketika ibu bapanya tiada di rumah.

Dia yang ketakutan lantas menyembunyikan diri di kandang kambing milik keluarganya, yang terletak bersebelahan rumah.

Seorang pekerja di kandang tersebut, Ismail Taib, 22, berkata, anak majikannya itu dipercayai bermain bersendirian di dalam bilik tidur kakaknya sebelum kebakaran berlaku.

"Pada mulanya Mohd Danial memang bersama saya ketika saya sedang melayan pelanggan yang mahu membeli kambing. Saya tidak sedar bila pula dia masuk ke dalam rumah, saya hanya sedar bila dia datang semula dalam keadaan ketakutan dan menyembunyikan diri di kandang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, tingkah laku kanak-kanak tersebut bagaimanapun tidak dihiraukannya sehinggalah beliau ternampak kepulan asap tebal dari rumah berkenaan.

"Pada ketika itu barulah saya sedar dan mula terhidu bau asap yang keluar dari bumbung rumah majikan saya," katanya.

Dalam keadaan panik itu juga, nenek Mohd Danial, Che Yam Che Man, 60-an yang sedang berada di luar rumah yang ternampak api sedang marak, cuba meluru ke dalam rumah kerana menyangka cucunya berada di dalam rumah.

"Saya terpaksa menahan Che Yam yang melulu masuk ke dalam rumah," kata Ismail.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Che Hasmah Awang, 45, berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai, beliau telah bersilih dengan jentera bomba.

"Saya tertanya-tanya juga dalam hati saya, rumah siapa yang terbakar. Namun selepas melihat jentera bomba masuk ke lorong rumah saya, hati saya mula berdebar-debar dan kemudiannya mendapati rumah saya sendiri yang terbakar," katanya.

Menurutnya, lima lagi anaknya sedang berada di sekolah sementara suaminya Maarof Yusof, 47, pergi ke Pengkalan Kubor.

"Namun apabila melihat anak dan ibu saya berada di halaman rumah, saya berasa lega kerana mereka selamat, walaupun sedih kerana rumah dan harta benda saya musnah," kata Hasmah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Seramai 11 anggota bersama dua jentera dari Balai Tumpat dan Balai Pengkalan Kubor dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran, katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan