Nilai Warga Emas Di Pulau Pinang Kurang Daripada RM10 Sebulan, Kata Shahrizat

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyifatkan pemberian RM100 setahun kepada warga emas di Pulau Pinang sebagai suatu yang memalukan.

Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebenarnya meletakkan nilai warga emas di negeri tersebut sebagai kurang daripada RM10 sebulan.

"Saya rasa malu bila terbaca (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim) Guan Eng beri RM100 setahun kepada warga emas. Kalau nak dikira tak sampai RM10 sebulan. Pemberian itu kononnya sebagai pernyataan penghargaan. Sebagai menteri yang menjaga kebajikan saya rasa malu.

"Saya nak tawarkan ucapan takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada kerajaan pakat pembangkang hanya kurang daripada RM10 sebulan. Itulah dia nilai warga emas di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat program pembasmian kemiskinan dan kebajikan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan.

Menyifatkan pemberian tersebut bukan saja tidak membantu membasmi kemiskinan, jumlah RM100 itu juga katanya tidak dapat menampung keperluan warga emas yang terlibat.

"Tapi bila saya datang ke Negeri Sembilan di bawah kerajaan BN (Barisan Nasional) yang dipimpin Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan, saya dapati program pembasmian kemiskinan dan kebajikan lain di negeri ini berjalan begitu baik sekali.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana mengikut rekod kami pencapaian Negeri Sembilan dalam program untuk pembasmian kemiskinan begitu baik sekali berbanding kerajaan Pulau Pinang di bawah kerajaan pakatan pembangkang," katanya.

Beliau berkata sehingga 25 Mac lepas, hanya terdapat 95 keluarga dikategorikan miskin tegar di Negeri Sembilan dan 646 di dalam kategori miskin iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM440 sebulan.

"Ini menunjukkan program jaringan keselamatan sosial Negeri Sembilan begitu berkesan sekali dalam membasmi kemiskinan di negeri itu. Kita berharap akan mencapai sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kita untuk pembasmian kemiskinan tegar dan miskin di Negeri Sembilan pada hujung tahun ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan