MCA: Tee Keat & Ka Ting Ditawar Tempat Tapi Selesa Satukan Parti Tanpa Jawatan

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau telah menawarkan tempat kepada dua bekas presiden iaitu Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Kiat untuk menganggotai Majlis Presiden.

Bagaimanapun kedua-dua bekas pemimpin MCA itu berpendapat mereka tetap masih boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada parti tanpa perlu memegang apa-apa jawatan.

Kata Soi Lek walaupun kedua-dua bekas presiden itu menolak pelawaan menduduki Majlis Presiden tetapi mereka bersetuju untuk terus mengukuhkan parti melalui peranan dan kapasiti mereka sebagai bekas presiden.

Yang penting kata Soi Lek ialah untuk melihat semua orang kembali bersatu di bawah satu bendera dan menyiapkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya telah dipilih oleh para perwakilan untuk menyatukan parti dan untuk memastikan parti dapat membantu Barisan Nasional menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Soi Lek selepas majlis penyerahan tugas antaranya dengan Tee Keat di Wisma MCA tengah hari ini.

Beliau menambah, semua pihak termasuk bekas-bekas presiden yang bertanding baru-baru ini telah memberikan jaminan mereka bahawa mereka akan bantu menstabilkan parti.

Soi Lek juga berkata, kepimpinan baru MCA sentiasa akan mendengar nasihat dan cadangan yang dikemukakan oleh Tee Keat.

Mengenai kempen-kempen negatif yang masih dimainkan oleh pihak tertentu melalui internet ke atasnya, Soi Lek berkata;

“Saya seorang yang sangat fokus dan akan meneruskan kerja saya seperti biasa kerana para perwakilan telahpun bersuara dan telahpun membuat keputusan mereka.”

Dan beliau menambah, semua kempen negatif itu tidak akan menghalangnya daripada meneruskan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa.

Ditanya apakah pilihan raya kecil Hulu Selangor akan menjadi medan menguji kepimpinannya, Soi Lek berkata, semua pilihan raya kecil adalah satu ujian buat BN dan bukan berkaitan kepimpinan mana-mana individu dalam parti.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja Pusat MCA akan melangsungkan mesyuarat mereka yang pertama esok (Rabu) selepas pemilihan parti 28 Mac lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan