Kes Stadium Sultan Mizan Runtuh Disiasat SPRM

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kes struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun tahun lepas telah pun diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata beliau difahamkan oleh pihak tertentu pihak SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak pihak agar tidak membuat pelbagai andaian sehingga hasil siasatan didedahkan.

"Saya tidak dapat menjelaskan perkara ini sama ada seleweng atau tidak kerana saya dimaklumkan oleh pihak tertentu SPRM tengah siasat, jadi saya berharap kita tidak menuduh yang bukan-bukan sehingga hasil siasatan SPRM diperjelaskan kepada umum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12 di sini hari ini sebagai menjawab soalan lisan daripada Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) berkenaan status terakhir kes stadium itu dan pihak bertanggungjawab yang perlu menanggung semula kos pembinaannya.

Dewan dimaklumkan bahawa tender untuk kerja-kerja pembersihan kerangka stadium yang runtuh itu telah pun dikeluarkan pada 15 Mac lepas dan tarikh tutupnya 19 April nanti.

Katanya kos pembinaan semula struktur yang runtuh itu akan ditanggung oleh kontraktor utama iaitu Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Genggam Mercu Sdn Bhd.

Beliau juga menjelaskan walaupun kos asal pembinaan stadium berkenaan adalah RM191 juta, namun harganya telah meningkat kepada RM294 juta apabila siap pada 22 Sept 2007.

Menteri Besar berkata hasil laporan Jawatankuasa Penyiasat mendapati terdapat empat faktor telah dikenalpasti sebagai punca utama berlakunya kejadian itu iaitu reka bentuk yang tidak memadai iaitu pereka telah gagal mengambil kira pertimbangan secukupnya terhadap keadaan penyokong kepada struktur bangunan.

Selain itu, disebabkan oleh faktor bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlakunya salah jajaran kepada geometri, kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak dan bahan dan kualiti hasil kerja tidak memenuhi spesifikasi yang ditentukan.

"Sebilangan angota pasukan pengurusan projek juga didapati tidak mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk menguruskan projek besar seperti pembinaan projek ini.

"Ini bermakna pegawai penguasa yang dipilih tidak mencerminkan tahap keupayaan yang diperlukan dan itu memang jelas berasaskan laporan yang dibuat," katanya.

Malah, katanya pelantikan jurutera semak bebas berakreditasi, yang sepatutnya setaraf atau lebih pengalaman dalam mengendalikan projek yang serupa berbanding perunding, dilantik terus oleh kontraktor sedangkan sepatutnya ia dilakukan oleh kerajaan negeri atau badan bebas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan