Kes Jenayah Jalanan Berjaya Dikurangkan Selepas Pelaksanaan NKRA

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes jenayah jalanan terutamanya kes ragut telah dapat dikurangkan sebanyak 993 kes bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata pengurangan itu dapat dicapai selepas Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi tanggungjawab kepada kementerian untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini, diperkenalkan Ogos tahun lepas.

"Sebanyak 22,455 kes dilaporkan bagi tempoh Januari-Februari tahun lalu berbanding 21,462 kes bagi tempoh yang sama tahun ini," katanya ketika menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) semasa sesi soal jawab.

Dr Siti Mariah bertanya mengenai rancangan jangka panjang kementerian untuk memastikan negara ini bebas daripada jenayah ragut.

bu Seman berkata sebanyak 9,687 jumlah kes ragut dan lima kematian dilaporkan pada tahun lepas dan daripada jumlah itu 4,234 kes atau 43.7 peratus berjaya diselesaikan.

Katanya usaha berterusan sedang dilakukan bagi mengatasi jenayah jalanan seperti meningkatkan kehadiran polis di kawasan panas, membuka balai polis bergerak dan meningkatkan tugas rondaan.

"Langkah juga diambil untuk menambah pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta mengintegrasikan CCTV sedia ada bagi membantu mengesan penjenayah," katanya.

Beliau berkata langkah itu telah dilaksanakan di kawasan tertentu seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke seluruh negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan