Kedua-dua Ong Tolak Tawaran Anggotai Majlis Presiden, Kata Dr Chua - Berita Semasa | mStar

Kedua-dua Ong Tolak Tawaran Anggotai Majlis Presiden, Kata Dr Chua

Diterbitkan: Selasa, 6 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau telah menawarkan kepada Datuk Seri Ong Tee Keat dan Tan Sri Ong Ka Ting untuk menganggotai Majlis Presiden (PC), namun kedua-dua bekas presiden parti itu menolak.

Dr Chua berkata beliau telah menemui kedua-dua Ong itu selepas pemilihan parti 28 Mac lepas dan mereka bersetuju untuk membantu dalam usaha mengukuhkan perpaduan parti.

"Saya juga menawarkan kepada mereka untuk duduk di dalam PC tetapi mereka menolak kerana berasakan masih mampu menyumbang kepada parti tanpa perlu memegang jawatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas antara Tee Keat dan beliau, di sini hari ini.

"Saya berharap Ong (Tee Keat) dapat terus membantu kita dalam usaha menyatupadukan parti. Nasihat, teguran dan tunjuk ajar beliau sebagai seorang pemimpin kanan amat dialu-alukan," katanya lagi.

Dr Chua yang menewaskan kedua-dua Ong itu pada pemilihan tersebut juga belum menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyerahkan senarai calon MCA bagi kemungkinan rombakan Kabinet.

Sambil menggesa orang ramai khususnya media agar tidak membuat spekulasi bahawa beliau akan kembali ke Kabinet, Dr Chua mengulangi perkara itu tidak sepenting misi beliau untuk menyatu dan menstabilkan parti selepas berbulan-bulan dilanda krisis dalaman.

Mengulas tindakan sesetengah pihak yang berkempen menentang kepimpinannya, Dr Chua yang imejnya tercemar gara-gara skandal seks, menyifatkan perkara itu sebagai isu kecil.

"Orang suka berkempen setiap hari. Saya gembira melakukan tugas saya dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengukuhan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu Tee Keat yang ditemui pemberita selepas itu berkata beliau kini menumpukan kepada tugas-tugas di kementerian dan kawasan Parlimennya.

"Paling penting bagi saya sekarang ialah mengatur semula keutamaan saya. Selain tugas sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen Pandan, saya telah menambah satu lagi agenda iaitu meningkatkan tahap kesihatan saya," katanya.

Ditanya mengapa beliau menolak tawaran yang dibuat Presiden MCA, Menteri Pengangkutan itu yang kelihatan terkejut menjawab: "Ada ke tawaran itu?"

Bagaimanapun Tee Keat menghujahkan bahawa jawatan dalam PC adalah bagi barisan kepimpinan sekarang, dan seseorang tidak perlu berada dalam majlis itu untuk menyumbang idea bagi membina semula parti.

"Apa saja yang kita buat mesti selaras dengan perlembagaan parti. Kita boleh menyumbang tanpa perlu berada dalam PC kerana ianya ada kuota.

"Bagaimanapun saya tidak pernah mempertikaikan hak presiden, tidak seperti sesetengah orang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan