Pemangku Raja Kelantan Tarik Balik Saman Terhadap Tengku Abdul Aziz

Diterbitkan: Isnin, 5 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra hari ini menarik balik saman baginda untuk satu pengisytiharan bahawa pelantikan pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah sebagai pemangku raja negeri pada 25 Mac adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Tengku Muhammad Faris dalam kamar menerusi peguam beliau Zainur Zakaria apabila kes itu disebut hari ini.

Pada 30 Mac, Tengku Muhammad Faris memfailkan saman itu terhadap adinda baginda Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Wan Hashim Wan Daud, yang mendakwa beliau ialah setiausaha sulit Sultan Kelantan dan Tengku Abdul Aziz, bekas pengerusi MPN.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay mewakili Tengku Muhammad Fakhry, Gobind Singh Deo bagi Wan Hashim dan Nizam Bashir untuk Tengku Abdul Aziz.

Gobind apabila ditanya mengenai perkara itu berkata Pemangku Raja tidak memberikan alasan mengenai permohonan kes saman itu ditarik balik tetapi baginda bebas untuk memfailkan semula saman itu.

Beliau berkata tiga defendan tidak berhak untuk membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa, jika plaintif memfailkan semula saman itu.

Dalam saman permulaan, Tengku Muhammad Faris menamakan dirinya sebagai plaintif pertama, kerajaan Kelantan dan setiausaha kerajaan sebagai plaintif kedua dan ketiga.

Tengku Muhammad Faris antara lain mahukan pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja, seperti yang diumumkan oleh Wan Hashim pada 25 Mac, mengisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau juga mahukan mahkamah itu mengisytiharkan bahawa Wan Hashim tidak ada hak di mana-mana pun untuk bertindak bagi pihak Sultan yang berkaitan istana berkenaan dan negeri.

Baginda juga memohon satu injunksi untuk menghalang Tengku Abdul Aziz daripada mewakili atau mendakwa dirinya sebagai Pemangku Raja atau masuk campur dalam tugas-tugas (Tengku Muhammad Faris) atau cuba untuk merebut kuasa baginda.

Putera raja itu juga mahukan satu injunksi untuk menghalang kesemua tiga defendan itu sama ada oleh mereka sendiri atau ejennya daripada bertindak bagi pihak Sultan atau masuk campur dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Baginda juga memohon kos dan relif lain yang sesuai diputuskan mahkamah.

Dalam afidavit, Tengku Muhammad Faris telah bertitah bahawa baginda dilantik sebagai Pemangku Raja yang sah oleh MPN pada 24 Mei, 2009 kerana Sultan Kelantan gering dan tidak dapat menjalankan tugas-tugas baginda sebagai ketua negeri.

Baginda menambah bahawa Sultan belum pulih dan bahawa MPN idak membuat pengisytiharan bahawa Sultan mampu untuk kembali bertakhta, dan dengan itu, tidak ada pihak lain yang berhak membuat pengumuman mengenai pewaris atau berebut kuasa (Tengku Muhammad Faris) sebagai Pemangku Raja. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan